ATHLETIC BILBAO 2 ATLETICO MADRID 0

Atletico Madrid melengkapkan minggu penuh penderitaan mereka dengan kekalahan 0-2 di tangan Athletic Bilbao ketika Inaki Williams dan pemain gantian, Kenan Kodro, menjaringkan gol dalam babak kedua di San Mames Barria, awal pagi tadi.


Skuad kendalian Diego Simeone itu tersingkir dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah selepas tewas 0-3 kepada Juventus, Rabu lalu, walaupun mereka membawa kelebihan dua gol daripada perlawanan pertama.

Kekalahan terbaru Atletico itu akan membenarkan pendahulu LaLiga, Barcelona, melebarkan kelebihan mereka kepada 10 mata andai menewaskan Real Betis, awal pegi esok.

Atletico bergelut mencari jaringan sepanjang perlawanan, namun mereka sepatutnya memperoleh sepakan penalti selepas Mikel San Jose menjatuhkan Alvaro Morata.

Jose Gimenez gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya pada 17 minit terakhir perlawanan yang membenarkan Wlliams menyudahkan hantaran lintang pemain gantian, Inigo Cordoba, sebelum Kodro melengkapkan kemenangan Bilbao pada minit ke-85.

Atletico gagal memberikan ancaman sepanjang separuh masa pertama dan hanya percubaan Ibai Gomez pada minit ke-35 mampu membuatkan penjaga gol Bilbao, Jan Oblak, berpeluh.

Antione Griezmann melakukan larian solo menarik yang disekat Yeray Alvarez menerusi terjahan tepatnya walaupun pemain kebangsaan Perancis itu memohon untuk diberikan sepakan penalti.

Ia kelihatan sukar untuk pelawat mengharapkan sepakan penalti dengan pengadil perlawanan, Santiago Jaime Latre, sekali lagi menafikan peluang itu dalam babak kedua.

Morata cuba melakukan rembatan kaki kanan, namun dia tersepak kaki San Jose tanpa kedua-dua pemain itu menyentuh bola sebelum pengadil menganggap tiada kesalahan dilakukan dalam situasi itu.

Bilbao berada di depan selepas Gimenez terlepas bola gara-gara tekanan yang diberikan Cordoba, yang kemudian melakukan hantaran rendah untuk mudah ditolak masuk Williams.

Tuan rumah menggandakan jaringan itu pada lima minit terakhir perlawanan selepas Gimenez menerjah bola yang menuju tepat ke arah Kondro untuk disudahkan.