Bekas pemain antarabangsa Jerman, Thomas Berthold, menggesa pengurus pasukan kebangsaan, Oliver Bierhoff, digantikan.

Jerman melalui kempen memalukan apabila terkandas di peringkat kumpulan Piala Dunia 2018, menjadi juara bertahan ketiga berturut-turut mengalami nasib serupa selepas Itali pada 2010 dan Sepanyol pada 2014.

Seperti biasa, dalam tulisan di kolum terbitan majalah Jerman, Kicker, Berthold berkata: '' Kerosakan imej kami adalah besar dan ini adalah tanggungjawab utama Oliver Bierhoff.

"Pengkomersialan melampau serta penyisihan pasukan kebangsaan daripada peminat dan media adalah akibatnya.

"Pengurus harus pergi.

"Perlu ada rombakan besar-besaran terhadap pasukan kebangsaan tanpa mengira ikatan atau pencapaian lampau. Kembali kepada cara profesional yang tidak perlu asyik bercakap tentang diri sendiri. Tiada lagi pemain yang manja, sebaliknya pemain yang dahagakan kejayaan," katanya.

Bierhoff menamatkan karier sebagai tonggak Die Mannschaft dalam Piala Dunia 2002 dan dia sempat menikmati kejayaan Euro 1996 bersama pasukan kebangsaan.

Setelah bersara pada 2003, beliau dilantik sebagai pengurus pasukan pada 2004 untuk menggalas tanggungjawab mengekalkan hubungan di antara pasukan dan media.