GENOA 2 JUVENTUS 0

Juventus tumpas buat julung kalinya dalam Serie A musim ini selepas jaringan Stefano Sturaro dan Goran Pandev memastikan kemenangan 2-0 buat Genoa di Stadio Luigi Ferraris, sebentar tadi.


Genoa mengaktifkan klausa untuk mengikat Sturaro daripada Juventus dengan yuran €16.5 juta (RM76.6j) bulan lalu, kurang dua minggu selepas dipinjamkan untuk menandakan penampilan pertamanya buat kali kedua dengan gol pembukaan selepas 72 minit permainan.

Sembilan minit kemudian, percubaan menarik Pandev mengatasi Mattia Perin untuk memastikan kemenangan mutlak buat tuan rumah.

Sentuhan Cristiano Ronaldo jelas dirindui selepas penggempur itu direhatkan berikutan memainkan peranan selaku wira kebangkitan pasukannya ketika melakar hatrik untuk menyingkirkan Atletico Madrid dalam kempen Liga Juara-Juara (UCL), pertengahan minggu ini.

Genoa hampir mencetuskan kejutan selepas 15 minit permainan, namun ketangkasan Perin mematahkan percubaan Antonio Sanabria dari jarak 12 ela.

Tuan rumah kemudian dianugerahkan penalti yang dibatalkan oleh video bantuan pengadil (VAR) selepas setengah jam permainan apabila Christian Kouame didakwa menampan bola dengan tangan sebelum ia mengenai pergelangan tangan Joao Cancelo.

Juve menyangka mereka akan memecah kebuntuan menerusi percubaan tepat yang pertama selepas 55 minit menerusi Paulo Dybala, namun pengadil, Marco Di Bello, sekali lagi menggunakan VAR untuk membatalkan jaringan itu kerana mengesan ofsaid.

Tuan rumah memberi tekanan hebat dalam tempoh 20 minit terakhir yang penuh dramatik.

Hanya beberapa saat selepas menggantikan Darko Lazovic, Sturaro melencongkan bola ke sudut bawah Perin dari jarak 20 ela dan penjaga gawang Juve berkenaan seharusnya melakukan usaha dengan lebih baik.

Nasib semakin menyebelahi tuan rumah apabila Pandev mengutip hantaran Kouame sebelum melepaskan rembatan rendah yang melewati Perin.

Pasukan bimbingan Allegri itu hampir mencetuskan kebangkitan pada lewat permainan tetapi ia tidak menjadi kenyataaan.

Sebaliknya, kelebihan mereka di puncak Serie A mungkin berkurangan kepada 15 mata sekiranya Napoli mengatasi Udinese, awal pagi esok.