MALAYSIA 7 BHUTAN 0

Hasrat Malaysia untuk menamatkan kemarau kemenangan sejak 2016 akhirnya tercapai selepas membelasah Bhutan 7-0, termasuk empat jaringan daripada kapten, Zaquan Adha Abdul Radzak, dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.


Aksi ketiga Harimau Malaya di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe jelas menunjukkan perbezaan ketara berbanding ketika diikat seri 2-2 Mongolia di tempat sama, sebelum ini.

Malaysia hanya memerlukan 11 minit untuk membuka tirai jaringan menerusi Wan Zack Haikal Wan Noor, sebelum Zaquan Adha yang memegang lilitan ketua pasukan kebangsaan buat kali kedua selepas aksi bertemu Lubnan pada Selasa lalu menyempurnakan sepakan penalti untuk menjadikan kedudukan 2-0, sembilan minit kemudian.

Belum sempat anak-anak buah Trevor Morgan memperkemaskan permainan, Irfan Zakaria mengambil giliran untuk meletakkan nama di senarai penjaring apabila melonjak tinggi untuk menanduk masuk gol ketiga pada minit ke-28.

Zaquan terus meletakkan Harimau Malaya dalam kedudukan selesa dengan gol keempat pada minit ke-37, sebelum dia mengaut peluang hasil kesilapan benteng lawan yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya untuk melepaskan rembatan kaki kiri, sekaligus melengkapkan hatrik untuk menjadikan kedudukan 5-0, tiga minit kemudian.

Selepas babak pertama tamat dengan kedudukan 5-0, nafsu anak-anak buah Cheng Hoe terus membara untuk menambah jaringan apabila larian deras Nazirul Naim Che Hashim di sebelah kiri membolehkannya membuka ruang buat Zaquan untuk menjaringkan gol keempat peribadi, sekaligus menjadikan kedudukan 6-0 pada minit ke-55.

Pemain gantian, R. Kogileswaran, hampir menambah pesta gol buat Malaysia menerusi sepakan percuma dari sebelah kiri pada minit ke-66, namun percubaannya sekadar menerjah tepi jaring tetapi Syafiq Ahmad tidak berdepan masalah untuk melonjak tinggi dan menanduk masuk bola hasil sepakan sudut dari sebelah kanan bagi menjadikan kedudukan 7-0.

Kemenangan 7-0 itu bermakna Malaysia menamatkan badi selama hampir dua tahun, selepas kali terakhir meraih kemenangan adalah ketika membenam Kemboja 3-2 pada 20 November 2016.

"Saya dapat lihat pemain-pemain negara sangat dahagakan kemenangan. Mereka bekerja keras di sepanjang perlawanan.

"Semua pemain beraksi sebagai satu pasukan dan dapat menjaringkan gol," ujar Cheng Hoe.

"Ini bukan keputusan yang kami mahukan tetapi perlawanan sebegini amat penting buat Bhutan. Pemain-pemain kami memerlukan pendedahan ini," kata Morgan.


Kredit foto: Facebook FAMalaysiaOfficial