Bguir inspirasi ES Tunis digelar kelab gergasi Afrika 

Oleh Staff Writer 10 November 2018 292
Bguir inspirasi ES Tunis digelar kelab gergasi Afrika 
ES TUNIS 3 AL AHLY 0
(ES Tunis muncul juara dengan agregat 4-3)

ES Tunis melengkapkan kebangkitan luar biasa untuk menuntut kemenangan 3-0 dalam pertemuan timbal balik Liga Juara-Juara Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF), sekali gus meraikan kejayaan dengan agregat 4-3, malam tadi. 


Saad Bguir mencetak satu gol dalam setiap babak sebelum jaringan dramatik Anice Badri pada lewat permainan memastikan kejuaraan ketiga kelabnya untuk mencetuskan perayaan di ibu kota Tunisia itu.

Al Ahly berada dalam situasi selesa menerusi kemenangan 3-1 di kandang sendiri hasil pertemuan pertama yang menyaksikan Walid Azarou digantung perlawanan atas dakwaan kurang semangat kesukanan kerana terbabit dalam perbalahan. 

Tuan rumah mempamerkan semangat juang tinggi biarpun terpaksa menunggu sehingga separuh masa pertama untuk menembusi pintu gol lawan yang membuatkan Al Ahly semakin goyah.

Bguir mencipta ruang di kawasan penalti sebelum melepaskan rembatan rendah yang membakar semangat barisan kendalian Moine Chaabani itu untuk bangkit dalam baki aksi permainan. 

Al Ahly yang memulakan separuh masa kedua dengan yakin, bagaimanapun, dikejutkan dengan gol tandukan Bguir hasil hantaran lintang Sameh Derbali dari sebelah kanan. 

Sekalipun berusaha keras dan mendominasi permainan -- hanya membenarkan Al Ahly membuat satu percubaan liar sepanjang perlawanan -- kelab Tunisia itu terus dihambat masa. 

Bagaimanapun, Badri yang merampas bola di bahagian tengah padang pada minit ke-86, meluru ke arah pertahanan sebelum melepaskan rembatan yang melepasi penjaga gawang Mesir, Mohamed El Shenawy, dari jarak 18 meter.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen