BFU bidas dakwaan perkauman Southgate

Oleh Staff Writer 14 September 2019 183
BFU bidas dakwaan perkauman Southgate
Kesatuan Bolasepak Bulgaria (BFU) membidas kenyataan Gareth Southgate selepas pengurus England itu mendakwa pasukannya perlu bersedia untuk menghadapi serangan perkauman ketika bertandang ke Sofia bulan depan.

England menewaskan Bulgaria 4-0 dalam pusingan kelayakan Euro 2020 di Stadium Wembley, Ahad lalu, dan akan bertandang ke laman lawan itu 14 Oktober depan.

Bagaimanapun, sebahagian tempat duduk di Stadium Vasil Levski itu akan ditutup gara-gara tingkah laku penyokong Bulgaria, Jun lalu.

Southgate menyatakan bahawa pemain England -- termasuk Raheem Sterling dan Danny Rose, yang telah menjadi sasaran sepanjang pusingan kelayakan itu -- perlu mengambil langkah dan bersedia untuk sebarang serangan apabila mereka menghadapi Bulgaria.

Persatuan Bolasepak England (FA) turut berkata sebahagian penyokong Bulgaria di Stadium Wembley telah dihalau dan ditangkap kerana mengamalkan diskriminasi perkauman.

"Ia satu kebimbangan, kami tidak yakin akan ke sana tanpa memikirkan sesuatu yang buruk akan berlaku" kata Southgate. 

"Ia sesuatu yang telah kami rancang.

"Kami sudah merancang bagaimana untuk menghadapi perlawanan di sana dan akan berbincang dengan pemain sebelum ke sana kerana kami menyedari bahawa terdapat sejarah di sana dan kami ingin memastikan kami bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh berlaku dan bagaimana untuk memberikan respons."

Bagaimanapun, kenyataan Southgate itu tidak dapat diterima BFU, yang mengeluarkan kenyataan rasmi sebagai respons.

"Presiden BFU, Borislav Mihaylov, telah menghantar surat rasmi kepada Setiausaha Agung UEFA dan Pengerusi FA, Greg Clarke, bagi menyatakan kemarahan dan kekecewaannya berikutan kenyataan terbuka oleh Gareth Southgate dan dakwaannya bahawa pemain England akan berdepan serangan perkauman daripada penyokong Bulgaria dalam pusingan kelayakan Eropah di Sofia, 14 Oktober depan.

"BFU melihat tingkah laku seperti itu sebagai tidak berasas, tidak sesuai dan tidak perlu sebelum perlawanan penting yang dinanti-nantikan oleh peminat Bulgaria sejak tahun lalu.

"Kami tidak menerima sebarang maklumat rasmi mengenai ejekan diskriminasi yang dilakukan penyokong Bulgaria di Stadium Wembley.

"Walau ia berlaku sekalipun, kami percaya bahawa generalisasi dan ketegangan yang dicipta barisan pegawai England itu sesuatu yang tidak dapat diterima dan bertentangan dengan semangat saling menghormati dan bermain adil, nilai teras dalam UEFA dan BFU," kata kenyataan berkenaan.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen