Pemerhati bola sepak negara, Rizal Hashim, menyifatkan Nelo Vingada perlu dikekalkan sebagai ketua jurulatih negara dan menegaskan beliau mampu membentuk skuad yang lebih ampuh jika diberikan masa.

Lebur harapan Malaysia untuk beraksi dalam saingan Piala Asia 2019 selepas mengalami dua kekalahan kepada Korea Utara dalam saingan kelayakan di Buriram, 10 dan 13 November lalu.

Ia sekaligus menjadi musim yang tiada sebarang kemenangan untuk skuad kebangsaan, malah merakamkan rentetan kekalahan dalam saingan kelayakan mahupun persahabatan.

Mengharungi lapan perlawanan, skuad negara sekadar meraih dua keputusan seri dengan Filipina dan Hong Kong, dan selebihnya Harimau Malaysia tumbang dan ia telah mengulangi sejarah tahun 2006.

Keadaan ini meletakkan Vingada berada dalam kedudukan tertekan tetapi Rizal menyifatkan tidak adil bagi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil keputusan untuk memecatnya.

"Vingada menyertai skuad negara pada bulan Mei, aksi pertamanya adalah pada bulan berikutnya dan tidak memiliki masa secukupnya untuk membuat persiapan serta terdapat beberapa pemain yang beliau perlukan tidak dapat beraksi.

"Beliau seorang yang berpengalaman dan masa juga diperlukan bagi menghasilkan pasukan yang terbaik," kata Rizal.

Bekas pemain kebangsaan, Asmawi Bakiri, menyifatkan jika skuad negara menggunakan aksi di laman sendiri dengan sebaik-bainya, peluang untuk melangkah ke Piala Asia masih belum terkubur.

"Malaysia perlu mengambil kesempatan beraksi di laman sendiri. Kegagalan meraih keputusan yang diingini ketika bertemu Lubnan dan Hong Kong menghukum skuad negara dalam usaha untuk mara ke saingan Piala Asia," katanya.