REAL MADRID 3 LEVANTE 2

Eden Hazard membuat penampilan sulung bersama Real Madrid ketika merakamkan kemenangan 3-2 ke atas Levante dalam saingan LaLiga hasil dua jaringan daripada Karim Benzema.


Dua jaringan Benzema dan satu daripada Casemiro memastikan skuad kendalian Zinedine Zidane itu mendahului 3-0 dalam separuh masa pertama sebelum pasukan pelawat menghadirkan kebangkitan.

Borja Mayoral, yang dipinjamkan ke Levante daripada Los Blancos, membuka jaringan buat skuad kendalian Paco Lopez itu sebelum Gonzalo Melero menanduk masuk jaringan kedua pasukan pelawat.

Ketika Real hampir berkongsi mata di Santiago Bernabeu, Thibaut Courtois menafikan percubaan Ruben Vezo bagi memastikan kemenangan.

Hazard, yang menyertai Real daripada Chelsea, diberikan sambutan meriah apabila turun sebagai pemain gantian, dengan penyerang skuad kebangsaan Belgium itu sebelum ini telah terlepas tiga perlawanan pembukaan ekoran kecederaan otot.

Ia merupakan kemenangan yang penting bagi Zidane dan Real selepas dua kali berturut-turut merakam keputusan seri, sekali gus menjadi suntikan semangat buat mereka menjelang bertandang ke Parc des Princes untuk aksi pembukaan Liga Juara-Juara (UCL) bertemu Paris Saint-Germain (PSG).