REAL MADRID 3 ATHLETIC BILBAO 0

Zinedine Zidane percaya bahawa Karim Benzema adalah penyerang terbaik dunia selepas pemain dari Perancis itu melakar hatrik ke atas Athletic Bilbao, malam tadi.


Real Madrid tidak memperagakan aksi terbaik mereka tetapi Benzema meneruskan sentuhan berbisa dengan melakar hatrik -- golnya dalam lima perlawanan berturut-turut.

Benzema kini menghimpunkan 29 gol musim ini dan Zidane sangat gembira dengan kualiti yang ditonjolkan bekas penggempur Lyon tersebut.

"Dia dipisahkan dengan dua gol lagi untuk menyamai rekod terbaiknya di sini," kata pengurus Madrid itu. "Setiap orang mempunyai cita rasa tersendiri. Bagi saya, dia adalah penyerang terbaik.

"Ia sesuatu yang mengagumkan atas gol yang disumbangkannya dan saya gembira dengannya. Dia mempunyai keyakinan tinggi dan sentiasa mahu memperbaiki diri."

Pemain gantian, Gareth Bale, diejek sebaik diperkenalkan dan biarpun mensia-siakan peluang terhidang untuk menambah derita lawan, dia kemudian membuat umpanan untuk disudahkan Benzema.

Zidane, bagaimanapun, terkejut dengan reaksi negatif peminat Madrid terhadap Bale.

"Saya sukar memahaminya," kata Zidane ketika ditanya mengenai layanan yang diterima bintang Wales itu.

"Bale memiliki peluang dan saya gembira sekiranya dia dapat menyempurnakannya. Saya tidak mahu mengulas yang selebihnya.

"Kami mempamerkan permainan yang hebat, kami unggul. Apa yang kurang adalah daripada segi jaringan. Kami gembira dengan apa yang kami lakukan."