Penyerang dari Perancis, Karim Benzema, mahu bersara bersama Real Madrid sambil menyifatkan pasukannya itu telah menjadi seperti "keluarga" ketika dia melalui situasi sukar dalam karier.

Penyerang itu menandatangani kontrak baru selama empat tahun, sekaligus akan mengekalkannya di Sepanyol sehingga 2021 dan menjadikan tempohnya bersama Madrid selama 12 tahun.

Bekas penyerang Lyon itu menjelaskan juara Eropah itu sentiasa bersamanya ketika bergelut dengan prestasi, termasuk disingkirkan daripada skuad kebangsaan Perancis selepas isu kontroversi antara dirinya dan Mathieu Valbuena.

"Madrid telah menjadi seperti keluarga untuk saya, tidak kira sama ada ketika senang atau susah.

"Saya berasa disayangi di sini. Saya sukakan bola sepak di sini dan semestinya mahu menamatkan karier di Madrid. Mereka menyokong dalam apa jua perkara.

"Tiada kelab seperti Real Madrid. Saya akan menamatkan karier di sini," ujar Benzema.

Setakat ini, Benzema hanya menjaringkan satu gol pada musim ini tetapi bagi pemain yang bakal memasuki usia 30 tahun itu, dia sudah terbiasa dengan kritikan dan menjadikannya sebagai pemangkin untuk beraksi lebih baik.

Dia juga menegaskan tiada pemain yang panik selepas tewas 0-1 di tangan Real Betis dalam aksi liga sebelum ini sehingga meletakkan skuad Los Blancos ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu, Barcelona.

"Kami ketinggalan tujuh mata, namun apa yang penting adalah kami sentiasa bersama. Kami adalah Real Madrid dan kami akan memperbaikinya dalam perlawanan akan datang."