Raphael Varane melihat rakan sepasukannya di Real Madrid, Karim Benzema, sebagai sumber inspirasi untuk kekal lama di tahap tertinggi.

Benzema, 31, menyertai Madrid pada 2009 dan telah mengecapi pelbagai kejayaan di Santiago Bernabeu.

Aspek paling menarik yang dapat dilihat daripada pemain itu sepanjang di Madrid adalah kestabilannya untuk menemui semula sentuhan terbaiknya selepas begelut sepanjang 2016 hingga 2018 -- hanya menjaringkan 16 gol daripada 61 penampilan.

Musim lalu, dia menjaringkan 21 gol dan memulakan kempen kali ini dengan aksi kukuh dengan merekodkan empat gol daripada empat perlawanan -- termasuk dua jaringan ketika membantu Madrid menewaskan Levante 3-2 malam kelmarin.

Produk akademi Lyon itu telah membuktikan keupayaannya untuk menempatkan diri selaku antara penyerang elit dunia dan Varane memandang kejayaan itu sebagai satu contoh untuk kekal lama di puncak karier.

Bercakap menjelang pelancaran satu dokumentari terbitan Amazon Prime, Varane berkata: "Kami (Varane dan Benzema) mempunyai hubungan yang baik. Katika saya tiba di Madrid, hanya ada dua pemain Perancis, iaitu dia dan Lassana Diarra.

"Kami sudah berkenalan selama lapan tahun. Kami memiliki momen bersama. Kami banyak bercerita. Bercerita tentang bola sepak, pada waktu baik dan pada waktu buruk.

"Hubungan kami amat baik. Dia lebih berpengalaman berbanding saya, jadi dia memainkan peranan untuk memberikan nasihat tentang bagaimana untuk menempatkan diri di tahap tertinggi dan bagaimana untuk bertahan lama di tahap itu.

"Kerana dia sudah lama berada di Madrid dan kelangsungannya di sini sememangnya tidak boleh disangkal lagi," katanya.