Karim Benzema menyifatkan Aurelio De Laurentiis sebagai seorang yang gila selepas presiden Napoli itu mendakwa Benzema terlalu tua untuk dijadikan sasaran pasukan.

De Laurentiis menolak spekulasi mengaitkan Benzema serta penggempur Paris Saint-Germain (PG), Edinson Cavani, untuk dibawa ke Napoli sambil memanggil mereka "orang tua".

Penyerang Real Madrid itu dikaitkan dengan perpindahan ke Napoli untuk kembali bekerjasama dengan bekas pengendali Los Blancos, Carlo Ancelotti, setelah sama-sama menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah pada musim 2013/14.

Namun, kenyataan De Laurentiis yang memanggil Benzema orang tua membuat penyerang kelahiran Perancis itu tidak gembira.

"Satu lagi individu yang menjadi gila," ujar Benzema melalui laman Instagram peribadi.

Dalam masa sama, De Laurentiis menegaskan jika Cavani bersedia untuk menerima pemotongan gaji, penggempur Uruguay itu akan kembali ke Itali.

Awal bulan ini, presiden Napoli itu mendakwa bintang Portugal, Cristiano Ronaldo, ditawarkan untuk menyertai pasukannya sebelum memilih haluan ke Turin untuk menyarung jersi Juventus.