EIBAR 0 REAL MADRID 4

Gol berganda Karim Benzema ketika menewaskan Eibar 4-0 di Stadium Municipal de Ipurua awal pagi tadi melonjakkan penyerang itu ke tangga keenam dalam senarai penjaring terbanyak Laliga buat Real Madrid, sekali gus mengatasi pemain legenda, Ferenc Puskas.


Pemain berusia 31 tahun itu menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-17 sebelum menggandakannya menerusi sepakan penalti tidak lama kemudian.

Ia menyaksikan Benzema telah menghasilkan 157 gol buat Madrid untuk mengatasi Puskas walaupun masih terlalu jauh untuk dibandingkan dengan rekod tertinggi milik Cristiano Ronaldo (311 gol).

Bekas bintang Lyon itu turut mengatasi seorang lagi legenda Madrid dalam rekod jaringan di peringkat Eropah awal pagi Khamis lalu.

Benzema menjaringkan dua gol ketika Madrid menewaskan Galatasaray 6-0 untuk secara keseluruhannya menghasilkan 50 gol di peringkat itu dan mengatasi rekod Alfredo Di Stefano (49).

Ronaldo turut merajai senarai itu dengan menghasilkan 105 gol dalam Liga Juara-Juara sepanjang menyarung jersi Madrid.