Benfica menafikan bintang remaja, Joao Felix, semakin hampir untuk melengkapkan perpindahan bernilai €120 juta (RM563j) ke Atletico Madrid.

Laporan di Sepanyol semalam menyebut Atleti telah menebus klausa kontraknya dan bersedia mengumumkan urusan perpindahan itu.

Pemain berusia 19 tahun berkenaan diburu kelab-kelab utama Eropah susulan 20 jaringannya selepas diserap masuk dalam tahun pertama skuad senior.

Benfica dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di laman sesawang mereka menegaskan tiada persetujuan telah dibuat pihaknya dengan mana-mana kelab sambil menyifatkan laporan itu sebagai "berita palsu".

Kelab Liga Primeira tersebut menyangkal dakwaan bahawa ejen, Jorge Mendes, yang turut menguruskan Cristiano Ronaldo, telah mengatur perpindahan Felix ke LaLiga dengan melibatkan kos tinggi.

"Berhubung berita yang diterbitkan sejak akhir-akhir ini, Benfica ingin menjelaskan tiada sebarang proses rundingan melibatkan perpindahan Joao Felix sedang berjalan," jelas kelab itu dalam satu kenyataan.

"Syarat untuk membuka rundingannya adalah perkara umum dan sudah diketahui dengan mengambil kira klausa penebusan kontraknya adalah berjumlah €120 juta.

"Bahkan lebih serius lagi, yang sememangnya kami patut nafikan adalah berita palsu yang merujuk kepada komisen sebanyak 30 peratus hasil daripada rundingan itu.

"Malangnya ia telah diuar-uarkan di Portugal oleh akhbar A Bola dengan niat dan matlamat yang kami tidak ketahui.

"Kami ulangi: maklumat ini adalah palsu, tidak masuk akal dan jelas berniat mencalarkan reputasi dan martabat Benfica."

Sekiranya Joao Felix berkelana ke Atleti, dia mungkin diangkat sebagai pengganti kepada Antoine Griezman setelah penggempur Perancis itu menyatakan keinginannya untuk meninggalkan Wanda Metropolitano.