Benfica tidak akan melepaskan penyerang, Joao Felix, kecuali klausa pelepasannya bernilai EUR120 juta (RM563 juta) dipenuhi, kata pengarah kelab, Domingos Soares De Oliveira.

Felix menyumbat 15 gol dalam Liga Premeira musim ini sehingga dilaporkan menarik perhatian beberapa kelab besar Eropah, termasuk dua pasukan dari England, Manchester City dan Manchester United.

Namun, pemain berusia 19 tahun itu memiliki klausa pelepasan di dalam kontraknya dan Benfica tidak bercadang untuk melepaskannya kurang daripada jumlah tersebut.

Malah, Soares menegaskan Benfica tidak terburu-buru untuk melepaskan bintang muda Portugal itu walaupun pada harga EUR100 juta (RM469 juta).

"Menjual berdasarkan klausa pelepasan adalah apa yang kami mahu lakukan," katanya.

"Jika Felix akan berhijrah ke kelab lain, kami mahu klausa pelepasannya dibayar.

"Namun, diharapkan ia tidak berlaku. Sasaran kami adalah memastikan pemain dalam kelab ini terus bersama kami.

"Jika ada pasukan membida Felix dengan harga RM469 juta, kami tidak akan menjual. Jumlah itu tinggi dan tiada pemain di Portugal yang dijual pada harga sebegitu tetapi sasaran kami adalah kemenangan di atas padang.

"Kami akan melakukan segalanya untuk mencapai perkara itu. Jika mereka tidak membayar RM563 juta, pemain itu akan kekal," tegasnya.