BENFICA 3 ZENIT 0

Pemain tengah Benfica, Pizzi, berasakan pertasi pasukannya dalam Liga Juara-Juara Eropah sepatutnya membolehkan mereka menduduki tempat yang lebih baik berbanding tangga ketiga Kumpulan G walaupun mereka sah akan ke Liga Europa.


Pasukan Portugis itu menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan kemenangan 3-0 ke atas Zenit di Lisbon awal pagi tadi.

Kemenangan itu hanya mengesahkan tempat mereka untuk beraksi dalam liga kedua Eropah itu berdasarkan rekod pertemuan dengan Zenit (kedua-dua pasukan berkongsi mata di tangga terbawah).

Bagaimanapun, Pizzi berasakan prestasi keseluruhan pasukannya dalam kempen kali ini sepatutnya membawa mereka ke pusingan 16 dengan RB Leipzig dan Lyon merupakan pasukan yang mara sebagai dua pasukan teratas.

"Saya fikir kami layak menerima sesuatu yang lebih baik dalam kejohanan ini.

"Dua perlawanan terakhir tidak lagi menjadi penentu nasib kami.

"Dalam perlawanan terakhir ini, kami tidak dapat mengubah apa-apa.

"Kami mahu beraksi dan memenangi perlawanan ini dan itulah yang kami lakukan.

"Kemenangan ini amat meyakinkan," katanya.

Pizzi membantu Franco Cervi menjaringkan gol pembukaan Benfica sebelum menyudahkan sendiri gol kedua daripada sepakan penalti.

Pemain berusia 30 tahun itu sedang melalui musim cemerlangnya di Eropah dengan menjaringkan gol dalam tiga daripada empat perlawanan Liga Juara-Juara selepas gagal melakukannya sepanjang 33 penampilan lalu.

"Saya berada di fasa terbaik. Nasib baik segala-galanya berjalan lancar.

"Saya mendapat sokongan daripada setiap struktur Benfica.

"Bilik persalinan kami amat kuat dan bersatu, kami menuju ke haluan yang sama.

"Setiap orang memainkan peranan mereka.

"Sekali lagi, saya dapat membantu pasukan dengan satu bantuan gol dan satu jaringan tetapi apa yang penting, ia kemenangan seluruh pasukan," tambahnya.