ICELAND 0 BELGIUM 3

Romelu Lukaku menjaringkan dua gol ketika Belgium menewaskan Iceland 3-0 dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA di Stadium Laugardalsvöllur, awal pagi tadi.

Skuad kendalian Roberto Martinez itu tampak gugup dalam permulaan kejohanan, namun ia dipadamkan oleh jaringan pembukaan daripada Eden Hazard hasil sepakan penalti serta gol daripada Lukaku, 121 saat kemudian.

Tatkala persembahan Belgium tidak begitu menonjol, pendahuluan yang diraih dilihat tidak terancam dan sebaik sahaja babak kedua bermula, mereka terus mencari gol tambahan sebelum Lukaku menyumbat jaringan ketiga.

Walaupun tewas melalui perbezaan tiga gol, Iceland masih mampu menarik nafas lega selepas dimalukan Switzerland 6-0 ketika aksi pembukaan Kumpulan 2, hujung minggu lalu.

Iceland melakukan asakan awal dalam usaha untuk melupakan aksi pada Sabtu lalu, namun pelawat perlahan-lahan mencari rentak dan membuka tirai jaringan hasil sepakan penalti Hazard setelah Sverrir Ingi Ingason menjatuhkan Lukaku.

Pemenang tempat ketiga Piala Dunia itu pantas menambah gol kedua. Hannes Thor Halldorsson menepis bola tandukan yang dilakukan oleh Vincent Kompany tetapi Lukaku menampan masuk bola muntah untuk menjadikan kedudukan 2-0 dalam masa tiga minit.

Tuan rumah cuba mendapatkan rentak semula sebaik sahaja permainan bersambung selepas rehat, namun sebaliknya berlaku apabila Thomas Meunier hampir menghadiahkan pelawat gol ketiga selepas menerima hantaran lintang Hazard.

Gylfi Sigurdsson cuba menguji kekebalan Thibaut Courtois dengan menghasilkan percubaan pertama buat Iceland tetapi tiada sebarang asakan yang dilihat berbahaya buat Belgium, sambil Lukaku mengatasi Ingason untuk menguis masuk gol ketiga Belgium.