Bekas pemain dijangka hadir majlis makan malam United Malaysia

Oleh Willie Jude 19 Mei 2019 1499
Bekas pemain dijangka hadir majlis makan malam United Malaysia
Seorang bekas pemain Manchester United dijangka menghadiri Makan Malam Tahunan Kelab penyokong Manchester United Malaysia (United Malaysia) di Kota Kinabalu, bulan depan.

Presidennya, Batholomew Jingulam, berkata pihaknya kini bekerja keras untuk membawa bekas pemain itu dan acara itu nanti juga bakal menjadi antara yang terbesar dalam menghimpunkan penyokong kelab terkemuka itu dari seluruh negara.

"Kami hampir ke arah itu (membawa bekas MU pemain ke Sabah), kira-kira 60 peratus kini bekas pemain berkenaan akan hadir tetapi siapakah dia biarlah ia satu kejutan nanti," katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan tajaan bernilai RM5,000 daripada pusat rawatan kecantikan, Katalina Aesthetic and Wellness di Kota Kinabalu, hari ini.

Sementara itu, Batholomew turut menyeru kepada ahli kelab yang masih belum membeli tiket makan malam itu supaya berbuat demikian secepat mungkin kerana tiket-tiket berkenaan kini terjual dengan cepat.

Majlis makan malam itu akan berlangsung di Dewan Hakka di Kota Kinabalu pada 28 Jun ini, bermula jam 6.30 petang.

"Saya juga menasihatkan kepada mereka yang telah membeli tiket supaya datang awal untuk mendapatkan hadiah percuma, termasuk barangan rasmi United Malaysia yang agak terhad.

"Selain itu, tiket bertuah juga sudah boleh didapati dengan hadiahnya sangat lumayan, termasuk peluang untuk menyaksikan perlawanan di Old Trafford," katanya.

Tambah beliau, setakat ini seramai lebih 400 ahli telah mencapai impian mereka ke Old Trafford, termasuk lebih 100 pada musim yang baru tamat.
 

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen