Carlo Ancelotti berkata dia tidak takut untuk dipecat daripada jawatan pengurus Napoli selepas Gennaro Gattuso dikaitkan untuk mengambil alih tempatnya.

Napoli berdepan kempen yang tidak menentu dan tidak pernah menang dalam sembilan perlawanan terakhir sejak menewaskan Salzburg, 23 Oktober lalu -- seri dalam tujuh daripada perlawanan itu.

Laporan di Itali mendakwa bekas jurulatih AC Milan, Gattuso -- yang pernah bermain di bawah Ancelotti ketika bersama skuad Rossoneri itu -- berkemungkinan akan diumumkan sebagai penggantinya selepas pengerusi Napoli sudah hilang sabar dengan pakar taktikal berpengalaman itu.

Jurulatih berusia 60 tahun itu menerima bahawa dia akan disoal mengenai prestasi buruk pasukannya dan bersedia seandainya pihak pengurusan tertinggi pasukan itu mengambil tindakan.

"Beg pakaian bagi jurulatih sentiasa tersedia dan anda tidak akan boleh mengumbahkannya," katanya dalam sidang media sebelum perlawanan menentang Genk dalam Liga Juara-Juara Eropah awal pagi esok.

"Ia tidak membuatkan saya takut dan risau jika kelab ini mahu memecat saya atau saya sendiri yang akan pergi."

Napoli sedang menduduki tangga ketujuh Serie A, lapan mata ketinggalan daripada kelompok empat teratas tetapi akan mengesahkan tempat dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara seandainya menewaskan Genk.

Mereka tidak pernah tewas dalam lima perlawanan Kumpulan E dan mencuri empat mata daripada juara bertahan, Liverpool, sepanjang proses itu dan Ancelotti mahu pasukannya membawa kecemerlangan itu ke dalam saingan peringkat domestik.

"Saya tidak boleh berpura-pura, pasukan ini tidak dapat memberikan seperti apa yang saya boleh diberikan.

"Di peringkat Eropah, kita dapat lihat Napoli yang berbeza, satu pasukan yang saya mahu lihat dalam saingan liga juga.

"Saya sedang mencari jalan untuk keluar daripada waktu sukar ini.

"Pasukan ini sedang risau mengenai apa yang mereka tidak dapat lakukan.

"Mereka memberikan yang terbaik ketika menentang Liverpool, ketika beban tanggungjawab itu tidak terlalu berat.

"Saya dapat rasakan yang esok, kami akan memperoleh permainan yang hebat dan kami akan layak ke peringkat seterusnya dan harap-harap sebagai pendahulu (kumpulan)," tambahnya.