Bekas kapten England, David Beckham, percaya skuad The Three Lions akan bertemu Argentina dalam aksi final Piala Dunia 2018, 15 Julai depan.

Pasukan bimbingan Gareth Southgate itu meraih gol pada minit-minit akhir permainan untuk mengesahkan kemenangan 2-1 ke atas Tunisia dalam aksi pertama Kumpulan G manakala Argentina diikat 1-1 oleh pasukan yang pertama kali beraksi dalam Piala Dunia, Iceland, yang menyaksikan Lionel Messi gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Kedua-dua pasukan mengimpikan kejayaan di Russia dan Beckham yakin England dan Argentina mempunyai kemampuan untuk melepasi setiap halangan sebelum melayakkan diri ke final di Moscow.

"Saya percaya Argentina akan bertemu England dalam final," kata Beckham.

"Sudah pasti pilihan saya untuk memenangi Piala Dunia adalah England tetapi ia disebabkan kecintaan saya terhadap pasukan negara sendiri."

Bechkham tampil dalam dua edisi Piala Dunia pada 1998 dan 2002, di mana dia dibuang padang semasa bertemu La Albiceleste selepas melakukan kekasaran terhadap Diego Simeone ketika saingan di Perancis, sebelum menebus kesilapannya dengan jaringan penalti sewaktu beraksi menentang lawan sama di Jepun, empat tahun kemudian.

"Saya gembira England memenangi aksi pertama dalam edisi kali ini.

"England adalah pasukan muda, tidak memiliki banyak pengalaman dan sudah pasti ia menjadi sukar kerana banyak pasukan hebat yang beraksi," tambahnya.