Leroy Sane tidak akan menyertai Bayern Munich tahun ini, kata ketua eksekutif kelab Bundesliga itu, Karl-Heinz Rummenigge.

Pemain sayap Manchester City itu, yang masih memiliki baki dua tahun kontrak, berdepan tempoh rehat sekitar tujuh bulan selepas mengalami kecederaan lutut ketika aksi Perisai Komuniti berdepan Liverpool.

Dia menjalani pembedahan di Austria hujung minggu ini dan pemain Jerman itu dirawat oleh Profesor Christian Fink berbanding individu dari Barcelona yang sering mengendalikan masalah kecederaan melibatkan pemain City sebelum ini, Dr Ramon Cugat.

Meskipun pemain berusia 23 tahun itu dijangka terlepas hampir keseluruhan kempen 2019-20, laporan mengatakan Bayern tetap akan cuba mendapatkan khidmatnya walaupun Ivan Perisic telah tiba di Allianz Arena secara pinjaman dan Philippe Coutinho dijangka mengikut langkahnya daripada Barcelona.

Bagaimanapun, tatkala kelab memerlukan pengganti Arjen Robben dan Franck Ribery, Rummenigge menolak untuk membawa masuk Sane menjelang tarikh akhir jendela perpindahan Bundesliga bulan depan.

"Tidak. Semua orang tahu kesan serta tempoh yang diperlukan apabila melibatkan kecederaan lutut," katanya.

Bayern mengesahkan perjanjian dicapai untuk mendapatkan Coutinho secara pinjaman musim ini tatkala perpindahan itu disertakan dengan pilihan pembelian tetap.

Dalam masa sama, Rummenigge tidak pasti Bayern akan mengekalkan pertahanan, Jerome Boateng, bersama kelab atau tidak.

"Saya tidak boleh katakan apa-apa tentang perkara itu hari ini," tambahnya.

"Jendela perpindahan masih terbuka sehingga 2 September. Kemudian, lihat nanti bagaimana ia berjalan."

Boateng sekadar memanaskan bangku simpanan sewaktu Bayern memulakan kempen mempertahankan gelaran Bundesliga dengan keputusan 2-2 sewaktu menentang Hertha Berlin, kelmarin di mana Benjamin Pavard dan Niklas Sule bertindak selaku bek tengah.

Bayern juga mengesahkan Javi Martinez, yang tidak menyertai skuad ketika berdepan Hertha akibat kecederaan, telah kembali menjalani latihan semalam.