Bayern Munich, Korea Selatan jalin kerjasama erat 

Oleh Staff Writer 12 Februari 2019 443
Bayern Munich, Korea Selatan jalin kerjasama erat 
Bayern Munich mengumumkan perkongsian strategik dengan Persatuan Bolasepak Korea Selatan (KFA), kerjasama kedua yang dijalin gergasi Jerman itu dengan sebuah badan induk di Asia.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, juara Bundesliga itu akan membantu dalam aspek pembangunan pemain dan jurulatih di Korea selain mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan remaja serta menjalani kem latihan.

Setelah menjalin kesepakatan yang sama dengan Jepun pada Mei tahun lalu, Pengerusi Bayern, Karl-Heinz Rummenigge, gembira melihat kelab Eropah itu terus meluaskan pengaruh mereka di rantau berkenaan.

"Bola sepak Korea mempunyai bakat muda hebat yang didorong pembangunan belia yang sangat baik," kata Rummenigge.

"Kami telah melihat hasilnya menerusi Jeong Woo-yeong baru-baru ini sejak dia menyertai kami dari Korea tahun lalu dan dia telah menunjukkan perkembangan yang pesat. 

"Oleh itu, kami berasa bangga atas kesepakatan ini dan untuk menyokong perkembangan berterusan KFA pada masa depan," katanya.

Pengarah Eksekutif KFA, Hong Myung-bo, yang juga bekas pemain Korea Selatan berkata: "Ini adalah satu kerjasama yang hebat untuk KFA dan ia langkah yang tepat ke arah mencapai matlamat kami.

"Saya pernah menghadapi jurulatih muda Bayern, Miroslav Klose, dalam separuh akhir Piala Dunia 2002, oleh itu saya mengenali kualitinya sebagai pemain yang hebat dan saya yakin dengan bakat yang Korea miliki. 

"Dengan sokongan Bayern dan langkah-langkah yang telah dipersetujui sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, ia boleh membawa kami lebih dekat untuk memenuhi tuntutan semasa liga utama Eropah.

"Ini merupakan satu peluang yang hebat. Bukan setakat kepada pemain, pasukan dan jurulatih semata-mata, malah untuk keseluruhan bola sepak Korea."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen