Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu, yakin Lionel Messi akan menandatangani satu kontrak baru yang lain untuk memastikan dirinya kekal bersama gergasi Sepanyol itu sepanjang kariernya.

Selepas pelbagai spekulasi timbul mengenai masa depan bintang Argentina itu bersama Barca, dia akhirnya bersetuju dengan kontrak baru selama empat tahun pada November lalu, yang memastikan pemenang lima kali Ballon D'Or itu kekal di Camp Nou sehingga penghujung musim 2020/21.

Dia akan berusia 34 tahun ketika kontraknya itu tamat tetapi Bartomeu menjangkakan Messi akan menandatangani satu lagi kontrak sebelum bersara.

"Kami adalah sebuah pasukan yang mempertaruhkan bola sepak yang terbaik. Kami mempunyai corak dan gaya yang unik dan Messi yang merupakan pemain terbaik dunia adalah pemain utama kami," kata Bartomeu kepada Bloomberg.

"Andres Iniesta adalah contoh terbaik. Kami mahukannya bukan sekadar seorang pemain tetapi seorang legenda pada masa depan.

"Saya mengharapkan perkara sama kepada Messi. Kini, dia mempunyai kontrak selama empat tahun tetapi saya tidak berasakannya sebagai yang terakhir."

Kontrak baru Messi turut disertakan dengan klausa perpindahan bernilai EUR700 juta (RM3.3 bilion) dan 30 kejuaraan yang dimenangi bersama Barca telah menyamai rekod yang dipegang Iniesta.