Pengendali skuad B-22 kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, mahu memberi tumpuan sepenuhnya untuk memperkuatkan barisan pertahanan melalui aksi persahabatan di Bangkok sebelum menghadapi Kejohanan AFF 2019 dan kelayakan Kejohanan AFC B-23 nanti.

Kim Swee mahu skuad muda negara mengambil peluang daripada tiga perlawanan persahabatan antarabangsa itu bagi mencari keserasian, terutama di bahagian pertahanan dan tengah, untuk menjadikan skuad kendaliannya itu sebuah pasukan yang sukar diatasi.

Justeru, Kim Swee, yang mengakui kelab bola sepak Thailand mempunyai pasukan lebih berkualiti, yakin dapat membantu anak buahnya melakukan persiapan lengkap bagi misi menjulang trofi Kejohanan AFF 2019.

Namun, pengendali berusia 48 tahun itu tidak meletakkan apa-apa sasaran dalam saingan persahabatan kali ini, sebaliknya ingin menguji prestasi barisan pemain untuk mengisi slot kesebelasan utama pasukan itu.

"Itu tujuan kami apabila ke Bangkok untuk siri perlawanan persahabatan. Saya menilai semua pemain," ujarnya.

"Harapan saya adalah wujud peningkatan dalam setiap perlawanan di mana penting untuk kami bersiap sedia bagi menghadapi Kejohanan AFF serta kelayakan Kejohanan AFC."

Sementara itu, kapten skuad B-22, Muhammad Daniel Amier Norhisham, mahu fokus mencari keserasian di dalam pasukan sebelum saingan AFF bermula bulan depan serta kelayakan Kejohanan AFC, Mac nanti.

"Harapan saya adalah meletakkan keputusan sebagai perkara kedua. Apa yang penting adalah keserasian kami seperti apa yang dimahukan jurulatih," katanya.