Lionel Messi sering membuatkan rakan sepasukannya di Barcelona sedar apabila dia marah walaupun dia memiliki sifat memendam rasa, kata pengarah gergasi LaLiga itu, Eric Abidal.

Penggempur Argentina itu berdepan kritikan daripada legenda senegara serta bekas pengendali pasukan kebangsaan, Diego Maradona, yang berpendapat sifat diam Messi membuatkannya tidak memberikan kesan sebagai seorang kapten.

Namun, Abidal menegaskan Messi mengetuai pasukannya dengan memberi contoh dan kapten pasukan itu sentiasa membuatkan rakan sepasukannya sedar akan situasinya.

"Dia adalah contoh sebagai seorang kapten. Bukan sekadar bakat tetapi sebagai seorang individu," kata Abidal.

"Messi tidak bercakap banyak tetapi dia menunjukkan segalanya di atas padang. Dia adalah kunci utama pasukan buat kami serta di dalam bilik persalinan.

"Kami sering berpendapat Messi tidak perlu bercakap. Semua orang tahu apabila dia marah atau gembira.

"Peranannya dalam pasukan sangat penting untuk pemain muda serta muka baru.

"Kisah Messi adalah sesuatu yang indah tetapi dia membuktikan di Barca bahawa dengan kerja keras, segalanya mampu dicapai.

"Dia adalah seorang pemain hebat dan terima kasih kepadanya di atas tahap yang meningkatkan pemain."

Messi yang tidak menyarung jersi Argentina sejak kekalahan dalam pusingan 16 Piala Dunia di tangan Perancis, telah menjaringkan enam gol daripada lapan perlawanan LaLiga musim ini.