Barcelona menanti Man Utd, laluan mudah buat Liverpool, Juve

Oleh Staff Writer 15 Mac 2019 8648
Barcelona menanti Man Utd, laluan mudah buat Liverpool, Juve
Barcelona dan Manchester United akan bertembung dalam suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) seperti ditentukan undian di Nyon, Switzerland, sebentar tadi. 

United berdepan tugas getir untuk melangkah ke suku akhir ketika memerlukan kebangkitan luar biasa untuk mengatasi Paris Saint-Germain (PSG) ketika bertandang di tempat lawan sebelum mencatat agregat 3-3 untuk mara dengan peraturan gol lawan biarpun kecundang 0-2 dalam pertemuan pertama.

Barca yang dikemudi Ernesto Valverde menundukkan Lyon 5-1 semalam yang menyaksikan Lionel Messi melakar dua gol dan dua bantuan jaringan untuk ke pusingan seterusnya, setelah buntu tanpa jaringan di Perancis.

Sesiapapun yang maju dalam pertembungan ulangan perlawanan akhir edisi 2008-09 dan 2010-11 itu akan berdepan sama ada Liverpool atau Porto yang masing-masing menyingkirkan Bayern Munich dan AS Roma dalam pusingan 16.

Liverpool bimbingan Jurgen Klopp diangkat selaku pilihan tahun lalu sebelum ditundukkan Real Madrid dalam final.

Ajax menumbangkan juara bertahan itu 5-3 hasil inspirasi Dusan Tadic dalam kemenangan 4-1 di Santiago Bernabeu, minggu lalu.

Begitupun, mereka perlu melalui satu lagi rintangan besar apabila perlu berdepan Juventus yang turut dibarisi Cristiano Ronaldo setelah penggempur itu mencetuskan inspirasi kebangkitan ke atas Atletico Madrid -- menjaringkan hatrik dalam aksi timbal balik untuk memastikan kemenangan 3-0 bagi memadam defisit 0-2. 

Perlawanan menarik lain turut membabitkan perseteruan dalam Liga Inggeris Inggeris (EPL) di antara Manchester City dan Tottenham yang berlanjutan di peringkat Eropah.

Mereka dijadual berdepan Ajax atau Juve di peringkat separuh akhir.

Perlawanan peringkat pertama suku akhir dijadualkan pada 9 dan 10 April, dengan perlawanan timbal balik seminggu kemudian.

Undian suku akhir UCL: 
Ajax lwn Juventus  
Tottenham lwn Manchester City
Liverpool lwn Porto 
Manchester United lwn Barcelona

Undian separuh akhir UCL:
Ajax/Juventus lwn Tottenham/Manchester City
Liverpool/Porto lwn Manchester United/Barcelona



 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen