Pemain terbaru Sevilla, Munir El-Haddadi, mendakwa jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde, telah dilarang untuk menurunkannya oleh kelab selepas penyerang itu enggan menandatangani kontrak baru.

Munir hadir ke dalam skuad utama Barcelona selepas mempamerkan impak sejak beberapa musim sebelum ini, namun menghadapi kesukaran untuk mendapatkan tempat dalam kalangan barisan bertaraf bintang.

Dia dpinjamkan ke Valencia sebelum bersama Deportivo Alaves yang lebih membuahkan hasil buat pemain itu -- menjaringkan 10 gol dalam 33 aksi LaLiga dan mendapatkan semula tempat dalam skuad Barca musim ini.

Bagaimanapun, selepas melakukan satu penampilan musim ini, Munir memberitahu Barca mengenai keinginannya untuk meninggalkan kelab selepas kontraknya berakhir musim ini.

Tetapi Sevilla berjaya mencapai persetujuan bersama Barcelona dan Munir berasa lega apabila mendedahkan Valverde dilarang untuk menurunkannya selepas dia mengumumkan perancangan untuk meninggalkan kelab.

"Apabila saya kembali bersama pasukan (Januari lalu) saya memberitahu kepada kelab mengenai perancangannya saya," kata Munir.

"Valverde memberitahu saya bahawa beliau dilarang untuk menurunkan saya dalam mana-mana perlawanan. Saya terus menjalani latihan dan sangat bertuah apabila Sevilla mahu mendapatkan khidmat saya."

Munir melakukan penampilan sulung selaku pemain gantian ketika Sevilla tewas 2-0 kepada Athletic Bilbao.

Dia mungkin tampil dalam kesebelasan utama buat Sevilla berdepan lawan yang sama untuk aksi Copa del Rey pagi esok.