Ejen Philippe Coutinho menuduh Barcelona berbohong berhubung hasrat ingin mengekalkan pemain itu sambil mengatakan juara LaLiga berkenaan berusaha melibatkannya dalam perjanjian pertukaran untuk mendapatkan Neymar.

Wakil bintang Brazil itu, Kia Joorabchian, mendakwa pegawai Barca, Pep Segura dan Josep Maria Bartomeu, telah memberi jaminan peribadi untuk mengekalkannya di Camp Nou.

Bagaimanapun, Joorabchian menuduh janji kelab itu tidak seiring dengan tindakan mereka serta berpendapat pemain tengah itu kurang dihormati.

Dia berasakan Coutinho, yang bergelut untuk memberi impak dalam dua musim di Barca, dipergunakan untuk memancing bintang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar, yang kelibatnya tidak disenangi di ibu kota Perancis itu.

"Presiden (Bartomeu) menjelaskan bahawa dia tidak berniat untuk menjual pemain itu kepada mana-mana kelab," kata Joorabchian kepada RMC Sport.

"Sehubungan itu, demi menghormati keputusan Barcelona, kami memilih untuk tidak melihat pasaran dan kami juga tidak menawarkan pemain itu ke kelab lain.

"Tetapi saya belajar sesuatu tentang hal ini, kebenarannya, apa yang dikatakan (penasihat Barca) Andre Cury sama sekali berbeza. Andre Cury menafikan nama Coutinho akan dimasukkan dalam syarat perpindahan Neymar.

"Seperti yang saya katakan, Coutinho tidak menawarkan diri untuk ke kelab lain kerana kami menghormati keputusan Barcelona ​​tetapi mereka tidak menghormati janji.

"Selama ini, kami telah banyak berdiam diri tetapi kami tidak akan membenarkan pemain dibohongi Barcelona.

"Sekiranya mereka mahu mengetepikan Coutinho, maka mereka harus memaklumkannya. Kami akan menentukan apa yang terbaik untuk masa depan pemain."

Coutinho akan menghadapi saingan sengit merebut kesebelasan utama Barca jika dia kekal berikutan kehadiran Antoine Griezmann daripada Atletico Madrid.

Liverpool dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk membawa pulang pemain berusia 27 tahun itu ke Anfield, di mana dia diejek dalam pertemuan separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL), Mei lalu.

"Liverpool tersemat di dalam hatinya," kata Joorabchian kepada Sky Sports. "Dia seorang peminat tegar mereka dan adalah sukar untuk menyertai pesaing Liverpool dalam liga yang sama."