Barcelona sedar mereka tidak boleh memandang rendah keupayaan lawan selepas disingkirkan daripada Liga Juara-Juara Eropah musim lalu oleh AS Roma, kata pengendali pasukan, Ernesto Valverde.

Kelab gergasi LaLiga itu dilihat selesa untuk melangkah ke separuh akhir selepas meraih kemenangan 4-1 dalam aksi pertama, namun dikejutkan dengan kekalahan 3-0 dalam aksi timbal balik.

Skuad bimbingan Valverde itu akan melakukan sepak mula pusingan 16 awal pagi esok di Lyon dan pengendali itu yakin perkara sama tidak akan berulang.

"Apa yang dipelajari di Rome adalah anda tidak boleh memandang rendah keupayaan lawan," kata Valverde.

"Dalam pusingan pertama, anda perlu dapatkan bekalan secukupnya.

"Sewaktu menentang Roma, semua orang berkata mereka adalah lawan yang lemah dan ia jelas tidak membantu kami.

"Kami tidak sabar untuk beraksi kerana menunggu lama untuk perlawanan ini dan kami berada di bawah tekanan kerana sedar mengenai keinginan peminat."

Selepas melalui tiga keputusan seri berturut-turut, termasuk 1-1 ketika berdepan Real Madrid dalam separuh akhir pertama Piala Raja Sepanyol, Barca kembali ke landasan kemenangan setelah menewaskan Real Valladolid 1-0, Sabtu lalu.

Namun, tidak semua penyokong gembira sehingga ada yang mempersoalkan taktikal yang diterapkan Valverde gara-gara gawang dibolosi dua kali dalam tiga aksi terakhir.

Valverde, yang baru menandatangani kontrak lanjutan setahun, tidak mahu memikirkan perkara itu dan menegaskan pasukannya mempamerkan aksi bola sepak menyerang.

"Semua orang mempunyai pendapat masing-masing," tambah Valverde.

"Kami adalah pasukan yang menyerang. Tidak banyak yang boleh saya katakan tetapi tunggu aksi awal pagi esok."