Pengarah Barcelona, Javier Bordas, berkata kelab LaLiga itu akan melakukan apa sahaja untuk mendapatkan semula khidmat Neymar.

Neymar dilaporkan mahu meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) sebelum tamat jendela perpindahan dan terdesak untuk kembali ke Barca, namun ia gagal diselesaikan.

Ia berlaku hanya dua tahun selepas Neymar meninggalkan Barca untuk ke juara bertahan Ligue 1 itu menerusi perpindahan rekod dunia bernilai EUR222 juta (RM1.02 bilion).

Bapa Neymar yang juga merupakan ejennya mendakwa perbincangan di antara Barca dan PSG masih belum tamat.

Dalam masa sama, Bordas memberi isyarat perpindahan itu masih boleh direalisasikan, memberitahu EFE: "Apabila dia mahu datang, kami akan lakukan segalanya untuk membawanya pulang.

Apa yang berlaku akan tetap terjadi, segalanya berubah dalam bola sepak tetapi Neymar tetap Neymar.

"Kes mengenai Neymar terkecuali. Dia seorang pemain istimewa dan mahu datang ke Barca. Dia tidak menyesuaikan diri di Paris, tersilap untuk ke sana dan dia sendiri mengakuinya."

Masa depan kapten Barca, Lionel Messi, turut mencuri perhatian.

Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu, mengesahkan laporan bahawa Messi memiliki pilihan untuk meninggalkan pasukan pada penghujung musim ini.

Dia menandatangani kontrak terbaru pada 2017 dan bakal tamat pada penghujung kempen 2020-21.

Pemenang lima kali Ballon d'Or itu dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Bolasepak Major (MLS) menerusi kelab baru milik David Beckham, Inter Miami, tetapi Bordas berkata: "Saya tidak melihatnya beraksi dengan kelab lain. Terdapat beberapa orang yang lebih sinonim dengan Barca berbanding Messi.

"Dia daripada Barca, hadir ke sini sewaktu kecil dan menghabiskan hampir keseluruhan hidup di sini. Messi adalah Barcelona.

"Orang ramai risau tentang klausa kontraknya tetapi Messi akan kekal kerana rumahnya di sini. Dia datang daripada La Masia. Lihat sahaja kepadanya apabila tewas dalam perlawanan."

Timbalan Presiden Barcelona, Jordi Cardoner, menambah: "Kami tenang dan terdapat banyak positif terutamanya dalam bilik persalinan.

"Messi akan lakukan apa yang difikirkan sesuai untuknya tetapi kontraknya sangat istimewa kerana dirinya. Ia keistimewaan khas untuknya serta pemain lain yang layak. Dia boleh datang dan pergi ke kelab apabila dia fikir sesuai. Saya suka melihatnya kekal lama selagi dia mahu beraksi untuk pasukan."