Masalah di depan gol yang dihadapi Alvaro Morata berterusan di pentas Liga Europa awal pagi tadi tetapi pengendali Chelsea, Maurizio Sarri, teruja dengan usaha lain yang dipamerkan penyerang itu.

Morata seharusnya mencatat hatrik ketika berdepan PAOK bagi aksi Kumpulan L tetapi dia mensia-siakan deretan peluang sepanjang tempoh 80 minit di atas padang sebelum digantikan oleh Olivier Giroud.

Pemain berusia 25 tahun itu tidak menjaringkan gol sejak minggu pembukaan Liga Perdana Inggeris berdepan Arsenal dan semakin kehilangan tempat di tangan Giroud setiap minggu.

Sarri melihat Morata tetap menampilkan aksi positif tetapi menegaskan dia perlu menjaringkan gol dengan kadar segera untuk membina semula keyakinannya.

"Morata akan meraih keyakinan dengan dua atau tiga gol," ujar Sarri.

"Dalam perlawanan awal pagi tadi, dia meraih banyak peluang tetapi tidak bernasib baik.

"Saya berharap dapat membantunya di masa akan datang tetapi keyakinan hadir menerusi jaringan yang dihasilkan.

"Mungkin dua gol dalam dua aksi, saya tidak pasti. Buat kali pertama dalam musim ini, dia bersedia di dalam kotak penalti. Sentiasa bersama bola dan aktif."

Prestasi Morata bukan satu-satunya masalah yang difikirkan Sarri kerana dia berasa pasukan bimbingannya harus meraih kemenangan lebih besar setelah mencatat 22 percubaan dalam seluruh permainan.

"Saya rasa kami bermain dengan baik. Sukar buat lawan untuk menentang kami pada hari ini.

"Saya juga rasa kami mengawal permainan dalam tempoh 90 minit.

"Kami meraih banyak peluang. Saya sangat gembira dengan tiga mata tetapi tidak dengan keputusan itu. Kami tidak menamatkan aksi lebih awal," tambahnya.