Penyerang yang mahu angkat kaki, Mario Balotelli, kembali melaporkan diri dalam sesi latihan bersama Nice selepas perbincangan dengan Marseille menemui jalan buntu.

Balotelli dikritik jurulatih baru, Patrick Vieira, serta peminat berikutan gagal mengikuti latihan pra-musim kerana perpindahannya ke Stade Velodrome yang kelihatan hampir dimuktamadkan.

Bagaimanapun, rundingan tersebut tidak berjalan lancar dan Balotelli dikatakan tidak berminat kembali ke Nice sebelum kelibatnya dilihat berlatih bersendirian semalam.

Balotelli menjaringkan 43 gol dalam 66 penampilan untuk pasukan Ligue 1 berkenaan, sekali gus membina semula reputasinya selepas beberapa tahun mengecewakan di England dan negara asalnya, Itali.

Pemain berusia 27 tahun itu kembali tersenarai dalam barisan Itali atas prestasi baiknya, menemui sentuhan penyudah ketika bertemu Arab Saudi selain memulakan perlawanan menentang Perancis bulan lalu.

Balotelli melanjutkan kontrak selama setahun pada musim lalu tetapi Nice menegaskan bahawa jika dia ingin berpindah, ia tidak akan menjadi percuma meskipun kontraknya menuju tamat tempoh.