Virgil van Dijk bersama-sama enam lagi pemain Liverpool akan bersaing dengan Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo dalam senarai pendek 30 pemain bagi anugerah Ballon d'Or 2019.

Van Dijk, yang memainkan peranan penting ketika membantu Liverpool menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah musim lalu, merupakan nadi di bahagian pertahanan skuad kendalian Jurgen Klopp itu dan merupakan calon pilihan untuk meraih gelaran kategori individu.

Namun, dia perlu mengatasi Lionel Messi yang menginspirasikan kejuaraan LaLiga buat Barcelona musim lalu.

Rakan sepasukannya, Sadio Mane, Trent Alexander-Arnold, Mohamed Salah, Alisson, Georginio Wijnaldum dan Roberto Firmino, turut tersenarai dalam kategori itu.

Ajax merupakan pasukan yang mencuri tumpuan di peringkat Eropah tahun lalu dengan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara sebelum tersingkir secara dramatik di tangan Tottenham Hotspur.

Beberapa pemain daripada kelab Amsterdam itu turut berada dalam senarai berkenaan.

Donny van de Beek dan Dusan Tadic akan menyertai saingan itu sementara Frenkie de Jong dan Matthijs de Ligt -- yang masing-masing telah berhijrah ke Barcelona dan Juventus - turut tersenarai.

Juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City, akan diwakili oleh Raheem Sterling, Riyad Mahrez, Kevin De Bruyne, Bernardo Silva dan Sergio Aguero.

Selaku finalis Liga Juara-Juara musim lalu, Tottenham Hotspur turut mempunyai wakil, iaitu Son Heung-min dan Hugo Lloris, namun tiada tempat buat Harry Kane dan Christian Eriksen.

Pemenang edisi lalu, Luka Modric, tidak akan mempertahankan gelarannya gara-gara prestasi buruk Real Madrid sepanjang tahun lalu. Senasib dengannya adalah penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar.

Pemenang Ballon d'Or akan diumumkan di Paris pada 2 Disember depan.

Senarai calon Balon d'Or:

Sadio Mane (Liverpool), Sergio Aguero (Manchester City), Frenkie de Jong (Barcelona), Hugo Lloris (Tottenham), Dusan Tadic (Ajax), Kylian Mbappe (Paris Saint-Germain), Trent Alexander-Arnold (Liverpool), Donny van de Beek (Ajax), Pierre-Emerick Aubameyang (Arsenal), Cristiano Ronaldo (Juventus), Alisson (Liverpool), Matthijs de Ligt (Juventus), Karim Benzema (Real Madrid), Georginio Wijnaldum (Liverpool), Virgil van Dijk (Liverpool), Bernardo Silva (Manchester City), Robert Lewandowski (Bayern Munich), Son Heung-min (Tottenham), Roberto Firmino (Liverpool), Marc-Andre ter Stegen (Barcelona), Lionel Messi (Barcelona), Riyad Mahrez (Manchester City), Kevin De Bruyne (Manchester City), Kalidou Koulibaly (Napoli), Antoine Griezmann (Barcelona), Mohammed Salah (Liverpool), Eden Hazard (Real Madrid), Marquinhos (Paris Saint-Germain), Raheem Sterling (Manchester City), Joao Felix (Atletico Madrid).