Cristiano Ronaldo berkata dia tidak memikirkan tentang ganjaran individu selepas ditanya mengenai Ballon d'Or susulan aksi hebatnya menyumbat gol buat Portugal, awal pagi tadi.

Ronaldo mencatat sejarah apabila empat gol yang dijaringkannya membolehkan juara Eropah, Portugal, menang 5-1 ke atas Lithuania dalam aksi Kumpulan B saingan kelayakan Euro 2020 di Vilnius.

Pemenang lima kali Ballon d'Or itu muncul penjaring terbanyak dalam saingan kelayakan Euro selepas meraih jaringan ke-25 mengatasi rekod milik Robbie Keane.

Bintang Juventus, Ronaldo, turut melebarkan rekod peribadi di pentas antarabangsa setelah menjaringkan 93 gol, termasuk hatrik kelapan buat Portugal, awal pagi tadi.

Ronaldo -- yang kini berada dalam senarai pendek anugerah The Best FIFA -- ditanya mengenai peluang untuknya memenangi Ballon d'Or keenam dan pemain berusia 34 tahun itu berkata: "Seperti saya sering katakan, saya tidak hidup hanya untuk fikirkan tentang hadiah individu.

"Ini adalah kesan daripada apa yang kami raih. Namun, saya tidak menipu, ia bagus. Apa yang penting adalah membantu pasukan.

"Saya menjaringkan satu gol ketika berdepan Serbia dan empat lagi jaringan di sini. Saya sangat gembira dan apa yang paling saya mahukan adalah meneruskannya."

Ronaldo menyumbat 21 gol dalam saingan Serie A musim lalu -- dan 28 jaringan dalam semua kejohanan -- tatkala Juventus memenangi kejuaraan Scudetto kelapan.

Musim ini, dia telah menjaringkan satu gol buat Juve yang kini berkongsi mata dengan Inter Milan dan Torino di puncak kedudukan Serie A.