Bale terkejut gagal raih Anugerah Puskas

Oleh Staff Writer 4 Disember 2018 10989
Bale terkejut gagal raih Anugerah Puskas
Bintang Real Madrid, Gareth Bale, menyifatkan Anugerah Puskas sebagai sesuatu yang tampak semakin suram selepas sepakan guntingnya buat Los Blancos dalam final Liga Juara-Juara Eropah dinafikan sebagai pemenang.

Mohamed Salah meraih anugerah itu dalam majlis anugerah The Best FIFA menerusi gol gerakan solo sewaktu berdepan Everton dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Namun, rakan sepasukan Salah, James Milner, agak terkejut dengan keputusan itu sambil mengejeknya melalui laman sosial.

"Tahniah Mohamed Salah di atas jaringan ketujuh terbaik anda musim lalu memenangi gol terbaik tahunan #baller #topbin #oneofmanyworldies," ujar Milner melalui laman Twitter.

Situasi itu membuatkan Bale terkejut dia tidak dinamakan sebagai pemenang selepas dinafikan oleh undian peminat walaupun menghasilkan sepakan akrobatik yang membantu Madrid menundukkan Liverpool di pentas final Liga Juara-Juara.

"Ya, saya terkejut dengan berita itu sejujurnya. Apa yang boleh anda katakan?" kata Bale.

"Ia membuatkan anugerah itu sedikit suram walaupun ia satu jaringan hebat oleh Salah."

Bale menyumbat dua gol selepas dimasukkan dari bangku simpanan sewaktu berdepan Liverpool, membolehkan Los Blancos menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali ketiga berturut-turut dan bintang Wales itu percaya sepakan guntingnya itu adalah yang terbaik dalam kariernya.

"Ia berdasarkan naluri. Tubuh saya berada di posisi tepat, gerakan kaki tepat dan segalanya sempurna," tambah Bale.

"Apabila anda menyambut bola dengan kemas, anda tahu di mana sasaran.

"Anda hanya perlu mengharapkan penjaga gol tidak melakukan aksi di luar jangkaan. Sebaik sahaja saya menyepak bola, saya tahu ia berpeluang untuk masuk ke gawang. Jika anda menyaksikannya, anda boleh lihat kepala saya terus berpaling. Saya tahu di mana arah bola.

"Saya rasa anda akan berkata ia jaringan terbaik saya. Jarang ia berlaku. Saya sukakan gol ketika final Piala Raja Sepanyol menentang Barcelona tetapi memandangkan kali ini ia berlaku di pentas besar -- perlawanan terbesar dalam saingan kelab, final Liga Juara-Juara -- dan secara teknikal ia adalah gol kemenangan, saya harus katakan ia yang terbaik."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen