Bale sanjung keupayaan Modric selepas muncul Pemain Terbaik FIFA 

Oleh Staff Writer 25 September 2018 550
Bale sanjung keupayaan Modric selepas muncul Pemain Terbaik FIFA 
Gareth Bale memuji rakan sepasukannya di Real Madrid, Luka Modric, sebagai "pemain yang sukar dipercayai kemampuannya" selepas pemain tengah itu memenangi Anugerah Pemain Terbaik Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), awal pagi tadi. 

Modric mengetepikan Mohamed Salah dan bekas rakan sepasukan di Madrid, Ronaldo, yang memenanginya pada 2017 -- untuk anugerah Pemain Lelaki Terbaik di Royal Festival Hall, London, setelah menikmati musim cemerlang 2018 yang menyaksikannya memenangi Liga Juara-Juara (UCL) dan muncul finalis Piala Dunia.

Bale, yang melancarkan tendangan gunting memukau dalam kemenangan Madrid ke atas Liverpool dalam aksi final UCL, terlepas Anugerah Puskas kepada jaringan Salah ke atas Everton, namun menghamburkan pujian terhadap Modric dalam media sosial.

"Tahniah sahabat! Pemain yang sukar dipercayai dalam musim yang hebat," kata pemain Wales itu.

Anugerah buat tonggak Croatia itu menyempurnakan malam hebat buat Madrid apabila menguasai Kesebelasan Dunia FIFPro yang menyaksikan Sergio Ramos, Marcelo dan Raphael Varane menyertai Modric.

Sementara itu, Thibaut Courtois meraih Anugerah Penjaga Gol Terbaik.

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen