Gareth Bale perlu beraksi untuk Real Madrid selepas membantu mendapatkan kejuaraan, kata rakan sepasukannya, Casemiro.

Bale mengingatkan pengendali, Zinedine Zidane, mengenai kemampuannya selepas mencipta satu bantuan gol serta memperagakan aksi mantap sewaktu Madrid memulakan kempen LaLiga 2019-20 dengan kemenangan 3-1 ke atas Celta Vigo semalam.

Bintang Wales itu dikhabarkan akan meninggalkan Los Blancos selepas Zidane mendakwa lebih baik buat penggempur itu berhijrah dari Santiago Bernabeu bulan lalu setelah meraih empat trofi Liga Juara-Juara Eropah dan sekali memenangi LaLiga bersama trofi lain.

Dia yang dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Super China kini bersedia untuk kekal di ibu kota Sepanyol itu dan pemain tengah Madrid, Casemiro, memuji persembahan yang ditampilkannya semalam.

"Dia memberikan kami kejuaraan, menjaringkan gol dalam final dan meraih penghormatan daripada kami," katanya.

"Dia harus beraksi. Dia seorang pemain hebat dan penting buat kami."

Penjaga gol Los Blancos, Thibaut Courtois, menambah: "Dia seorang pemain penting dan beraksi dalam perlawanan besar. Semua orang sayangkannya dan penting untuk Bale beraksi buat kami. Kami sangat gembira dengannya."

Madrid meraih permulaan cemerlang dengan kemenangan meskipun mengharungi aksi pertama dengan 10 pemain selepas Luka Modric dilayangkan kad merah di laman lawan.

Bale membuka ruang buat Karim Benzema untuk meledak gol pembukaan sebelum Modric diarah keluar padang setelah rujukan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati dia memijak Denis Suarez selepas sejam permainan.

Meskipun melakukan beberapa kesilapan, Madrid mengesahkan tiga mata menerusi dua lagi gol oleh Toni Kroos dan Lucas Vazquez sambil Iker Losada menyumbat jaringan sagu hati buat tuan rumah.

"Pramusim tidak mudah buat kami. Terdapat perlawanan yang kami tidak beraksi dengan baik tetapi kami yakin melakukan perkara betul," tambah Courtois.

"Kami rasa bagus dan hari ini kami membuktikannya. Kami bermain dengan baik dan menang walaupun dengan 10 pemain. Itu kunci utama.

"Kami tahu dalam babak kedua, lawan akan memberi tekanan. Dalam situasi satu lawan satu dengan Iago Aspas, saya menafikannya dengan baik. Saya mempunyai reaksi pantas untuk menepisnya. Ia memberi pasukan keyakinan.

"Kami melakukannya dengan baik hari ini tetapi kecewa dibolosi. Kami perlu terus bekerja keras. Kini, kami fokus dengan aksi berdepan Valladolid."