Zinedine Zidane berkata Gareth Bale hampir pasti akan meninggalkan Real Madrid selepas pemain itu dipinggirkan ketika berdepan Bayern Munich dalam Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC), hari ini.

Bale dilabel sebagai lebihan pemain dalam skuad kendalian Zidane itu dan bintang Wales berkenaan tidak menyertai perlawanan ketika Madrid tewas 1-3 kepada Bayern di Houston.

Pemain berusia 30 tahun itu, yang masih mempunyai baki kontrak untuk tiga musim, dikaitkan dengan perpindahan ke bekas pasukannya, Tottenham Hotspur, selain Manchester United dan Bayern.

Masa depan Bale, bagaimanapun, semakin hampir untuk dimuktamadkan apabila Zidane bersedia untuk menjualnya dalam masa terdekat.

Ditanya mengapa Bale dipinggirkan daripada perlawanan hari ini, Zidane memberitahu wartawan: "Bale tidak beraksi kerana dia hampir pasti akan meninggalkan pasukan.

"Saya harap dia akan meninggalkan kami tidak lama lagi kerana itulah yang terbaik buat semua pihak.

"Kami sedang berusaha untuk melengkapkan perpindahannya ke pasukan baru.

"Saya tiada masalah peribadi dengannya, namun akan tiba satu masa untuk menyelesaikan apa yang sepatutnya diselesaikan.

"Saya sudah membuat keputusan, kami perlu berubah.

"Pemergian itu ditentukan oleh jurulatih dan pemain, yang tahu akan situasi itu.

"Situasi ini akan berubah, saya tidak tahu sama ada dalam 24 atau 48 jam lagi, namun ia akan berubah dan ia perkara terbaik buat semua pihak," katanya.