Gareth Bale berkata dia sedang berjuang untuk skuad kebangsaan Wales sambil menafikan masalah keceederaan menjadi antara faktor buatnya melalui musim sukar bersama Real Madrid.

Gergasi LaLiga itu telah melantik Zinedine Zidane semula selaku pengendali selepas Julen Lopetegui dan Santiago Solari gagal di Santiago Bernabeu.

Bale mencipta kejutan apabila tampil dalam kesebelasan utama dan menyumbat gol dalam perlawanan pertama di bawah bimbingan Zidane semula, yang menyaksikan Madrid menewaskan Celta Vigo 2-0.

Menjelang pertemuan di antara Wales kendalian Ryan Giggs itu dan Slovakia di laman sendiri malam ini, Bale menafikan dia berdepan isu kecergasan.

"Saya hanya mengalami satu kecederaan dan saya akan baik-baik sahaja," kata Bale.

"Saya telah bermain serta menghasilkan beberapa gol.

"Kami mahu beraksi dalam kejohanan utama dan menikmati apa yang kami lalui.

"Kami mahu menghasilkannya sekali lagi, perlu bekerja keras sebagai satu pasukan. Saya benar-benar berjuang."

Tatkala Bale bakal turun dalam aksi malam ini walaupun mengalami masalah ketika sesi memanas badan sewaktu menghadapi cabaran Trinidad and Tobago, Aaron Ramsey bakal terlepas peluang menentang Slovakia malam ini.

"Sudah tentu ia memberi tamparan kepada kami," kata Bale mengenai Ramsey.

"Dia adalah pemain utama dan kami akan rindukan dia. Namun, ia juga memberi peluang buat pemain lain untuk menyinar dan diharapkan mereka dapat membantu pasukan."