Gareth Bale akan memainkan peranan besar dalam skuad Real Madrid musim ini jika berjaya mengekalkan kecergasannya di tahap terbaik, sekaligus membantu pasukan meneruskan kecemerlangan.

Pengurus pasukan, Zinedine Zidane, berjaya membawa Los Blancos menjuarai Liga Juara-Juara Eropah (UCL) buat kali kedua berturut-turut serta kejuaraan LaLiga pada musim lalu, namun Bale tidak dapat melakukan banyak penampilan akibat kecederaan.

Bagaimanapun, Zidane mahu melihat bekas pemain Spurs itu kembali ke prestasi terbaik dan yakin dengan kebolehan anak buahnya itu.

“Bale seorang pemain yang bagus, bekerja keras ketika latihan dan itu yang paling penting.

“Dia meraih peluang yang terhad pada musim lalu selepas menghabiskan masa selama empat bulan dengan kecederaan tetapi kini jelas menikmati persiapan bagi menghadapi musim baru,” kata Zidane.

Mengenai Cristiano Ronaldo yang digantung lima perlawanan akibat kesalahan ketika bertemu Barcelona dalam saingan Piala Super Sepanyol tempoh hari, Zidane tidak mahu bercakap banyak mengenai perkara itu.

“Saya tidak suka merungut dan tidak akan memulakannya.

“Kami sudah membuat rayuan dan akan melakukannya sekali lagi. Apa yang termampu, itu yang akan kami lakukan.”