REAL MADRID 2 AS ROMA 1

Real Madrid tidak berdepan masalah untuk mengatasi AS Roma dalam aksi Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) sebentar tadi sambil skuad Los Blancos itu yang kini dikendalikan oleh Julen Lopetegui terus mempamerkan perkembangan positif.


Juara bertahan Liga Juara-Juara Eropah itu sedang menyesuaikan diri dengan keadaan baru selepas Zinedine Zidane dan bintang utama, Cristiano Ronaldo, meninggalkan pasukan.

Berdepan kelab Serie A, Roma, di Stadium Metlife di Rutherford, Madrid meneruskan persembahan hebat sewaktu mengatasi Juventus 3-1 dalam perlawanan sebelum ini.

Selepas aksi bermula dua minit, hantaran menarik Gareth Bale menerusi sisi kaki luar membolehkan Marco Asensio melepasi asakan Ivan Marcano dan penggempur Sepanyol itu dengan mudah menyudahkan peluang melepasi Robin Olsen untuk menjadikan kedudukan 1-0.

Bale terus membuktikan dia berada dalam kelas tersendiri pada minit ke-15, kali ini dia mengutip bola hantaran Dani Carvajal di sebelah kanan, masuk ke bahagian tengah dan melepaskan rembatan melepasi Olsen untuk menggandakan kelebihan Madrid.

Roma cuba mengubah corak permainan dengan lebih ke bawah tetapi gagal untuk menghadirkan ancaman buat lawan tatkala percubaan jarak jauh Edin Dzeko yang dinafikan oleh Keylor Navas merupakan salah satu daripada jumlah kecil peluang Roma dalam babak pertama.

Madrid pula terus mencetuskan masalah buat anak-anak buah Eusebio Di Francesco. Karim Benzema turut menguji keampuhan Olsen di gawang pada minit ke-36 sebelum rembatan jarak dekat oleh Asensio dihalang benteng lawan.

Kedua-dua pasukan melakukan pertukaran, termasuk menampilkan Justin Kluivert, untuk membantu Giallorossi bangkit dalam separuh masa kedua.

Kevin Strootman merapatkan jaringan buat Roma apabila dia menyambut dan menyumbat masuk bola tandukan Patrick Schick yang berpunca daripada lontaran ke dalam pada minit ke-83, sekali gus memberikan jaringan buat wakil Itali itu setelah mempamerkan aksi berbeza dalam babak kedua, namun segala-galanya sudah terlambat untuk mereka menyamakan kedudukan.