Bekas penolong jurulatih skuad B-19 negara, Nenad Bacina, bingung dengan nasib yang sering menimpanya apabila disingkirkan tatkala pasukan bimbingannya mencapai kejayaan, dengan yang terbaru bersama skuad kendalian Bojan Hodak itu.

Setiap jurulatih terpaksa mengundurkan diri atau dipecat selepas gagal menghasilkan kejayaan bersama pasukan masing-masing.

Namun, situasi berbeza dialami Bacina apabila disingkirkan biarpun prestasi skuad B-19 negara berada di tahap terbaik.

Ironinya, ia juga berlaku ketika jurulatih kelahiran Croatia tersebut bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Pulau Pinang.

"Saya sedih tidak berpeluang untuk meneruskan tugasan sebagai kakitangan pasukan di bawah kendalian Bojan Hodak kerana saya berpandangan kami dalam prestasi yang sangat baik.

"Malangnya, peranan saya di sini telah berakhir," katanya.

Nadi Arena sebelum ini mengesahkan Bacina tidak ditawarkan perjanjian baru oleh Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) selepas kontraknya tamat hujung bulan lalu.

Pencapaian terbaik Bacina sebagai pembantu kepada Hodak sudah pasti ketika menjuarai Kejohanan AFF B-19 di Indonesia, tahun lalu.

"Saya sudah berada di Malaysia selama empat setengah tahun.

"Saya memenangi trofi bersama JDT dan mengemudi Pulau Pinang dengan baik, termasuk skuad B-19 Malaysia.

"Tiada sebab saya tidak boleh teruskan kerjaya di sini. Mungkin bukan dalam tempoh terdekat, sebaliknya beberapa bulan lagi," ujarnya.