Pemain tengah Sabah, Azzizan Nordin, mahu memanfaatkan sebaik mungkin peluang kedua yang diberikan selepas dipanggil semula menyertai sesi latihan pasukan negara.

Katanya, dia tidak sangka akan dipanggil semula untuk menyertai Harimau Malaya kerana menganggap skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu dibarisi ramai pemain yang lebih bagus.

"Memang terkejut kerana tiba-tiba dipanggil semula dan pada masa sama, saya juga gembira kerana menyarung jersi Malaysia sentiasa menjadi impian saya.

"Saya mahu diberikan peluang untuk membantu pasukan menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia.

"Saya akan terus berusaha dan peluang kedua ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pemain berusia 25 tahun dari Bongawan itu pernah dipanggil Cheng Hoe tahun lalu untuk menyertai beberapa aksi persahabatan skuad negara.

Dia dipanggil semula berikutan kecederaan buku lali yang dialami pemain tengah Pahang, Nor Azam Abdul Azih.

Azzizan juga antara watak penting Tambadau yang menjuarai Liga Perdana musim ini, sekali gus layak beraksi dalam Liga Super musim depan.