Azmin tagih kudrat Apek

Oleh Staff Writer 21 Mac 2018 7398
Azmin tagih kudrat Apek
Jurulatih penjaga gol negara, Azmin Azram Abdul Aziz, berharap pengalaman Khairul Fahmi Che Mat dapat membantu skuad kebangsaan selepas hampir setahun namanya gagal menarik perhatian jurulatih Harimau Malaya.

Prestasi Kelantan tidak berada di tahap terbaik, namun kredibiliti selaku bekas penjaga gol nombor 1 negara membuatkan pemain yang dikenali dengan nama panggilan “Apek” itu dilihat mampu membantu Malaysia untuk berada di kedudukan terbaik menerusi pengalaman yang dimilikinya.

Azmin masih menganggap penampilan semula Khairul Fahmi bersama skuad negara adalah tepat pada masanya, selepas melewati kontroversi dan kecederaan bersama Kelantan, sepanjang tahun lalu.

"Saya lihat daripada segi pengalaman, Apek jelas lebih berpengalaman berbanding penjaga gol yang lain. Bukan untuk memperkecil kebolehan pemain lain tetapi ini adalah waktu terbaik buatnya. Kebetulan, ia adalah detik terbaik untuknya kembali bersama pasukan," kata Azmin.

"Saya ada bercakap sendiri dengannya sebelum senarai dikeluarkan, adakah dia bersedia sekiranya dipanggil dan dia tampak memberikan jawapan positif."

Selain Khairul, penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Haziq Nadzli, dan pemain Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam, adalah antara yang akan bersaing untuk merebut dua slot bagi aksi terakhir kelayakan Piala Asia bertemu Syria.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen