PERANCIS 2 AUSTRALIA 1

Antoine Griezmann menjaringkan sepakan penalti pertama melalui Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam sejarah Piala Dunia apabila Perancis melepasi rintangan Australia 2-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan C, Piala Dunia sebentar tadi.


Perancis bergelut untuk menyerlahkan aksi terbaik di Arena Kazan dengan tiga penyerang, Griezmann, Kylian Mbappe dan Ousmane Dembele, gagal memberi tekanan kepada Australia.

Selepas separuh masa pertama, permainan bertambah rancak sejurus pengadil, Andres Cunha, memberi sepakan penalti kepada Perancis selepas dibantu teknologi VAR dan memutuskan Josh Risdon menerjah Griezmann di dalam kawasan penalti.

Kelebihan sepakan penalti penggempur Atletico Madrid itu bagaimanapun dipadamkan hanya empat minit kemudian melalui satu lagi penalti. Pemain tengah Aston Villa, Mile Jedinak, menyamakan kedudukan selepas bola terkena tangan Samuel Umtiti.

Pasukan bimbingan Didier Deschamps itu dilihat seperti menuju permulaan yang mengecewakan dalam kempen mereka, namun pemain tengah Manchester United, Paul Pogba, menyaksikan rembatannya yang mengenai palang gol dan melintasi garisan gol sebelum melantun ke dalam permainan ketika perlawanan berbaki 10 minit untuk memastikan tiga mata.

Perancis kini mengharapkan aksi lebih meyakinkan ketika menentang Peru, Khamis depan, sementara Australia pula perlu mengembalikan perjuangan mereka di landasan sebenar ketika menghadapi Denmark.

Les Bleus memulakan permainan dengan pendekatan menyenangkan dengan mencipta tiga peluang dalam tempoh enam minit pembukaan.

Pertama, Mbappe ditolak berhampiran kotak penalti oleh Mat Ryan sebelum penjaga gawang Australia itu dengan selesa menafikan sepakan percuma Pogba serta sepakan jarak jauh Griezmann.

Australia mula mengatur gerakan dan hampir mendahului selepas 17 minit permainan.

Sepakan percuma Aaron Mooy dari sebelah kiri menyaksikan Corentin Tolisso tertampan ke gawang sendiri, namun mujur Hugo Lloris sudah bersedia untuk menanganinya.

Perancis kelihatan berhati-hati dalam separuh masa kedua sambil Australia selesa mematahkan gerakan lawan sebelum gol bersejarah Griezmann selepas 10 minit permainan bersambung.

Risdon terpaksa menjatuhkan Griezmann dan menerusi sistem VAR, pengadil mengesan tumit penyerang Atletico berkenaan dikasari lalu memberikan sepakan penalti.

Australia bangkit daripada ketinggalan dan hanya memerlukan empat minit.

Keputusan aneh Umtiti untuk menangani sepakan bebas Mooy membenarkan Jedinak menyempurnakan sepakan penalti untuk mengatasi Lloris.

Begitupun, Pogba mempunyai perancangan tersendiri apabila menyerbu ke arah pintu gol lawan dan halangan Aziz Behich mengelirukan Ryan untuk Perancis memulakan kempen dengan kemenangan.