Presiden Lyon, Jean-Michel Aulas, mendedahkan kapten pasukan, Nabil Fekir, dibenarkan untuk meninggalkan kelab Ligue 1 itu.

Fekir -- yang hampir menyertai Liverpool pada permulaan musim 2018-19 lalu sebelum perbincangan terhenti akibat kesangsian terhadap lututnya -- kini dikaitkan kembali untuk meninggalkan Lyon.

Kelab Liga Perdana Inggeris dan finalis Liga Juara-Juara Eropah, Liverpool, adalah antara pasukan yang kembali berminat untuk mendapatkan khidmat Fekir.

Dan Fekir selaku pemenang Piala Dunia 2018 -- yang terikat dengan kelab sehingga 2020 dan menjaringkan 12 gol dalam semua kejohanan musim ini -- telah diberikan kebenaran untuk meninggalkan kelab yang diwakili sejak kecil, di mana pemain berusia 25 tahun itu melakukan penampilan sulung profesional pada 2013.

"Fekir kini tersenarai antara pemain yang dijangka pergi kerana kami telah mencapai persetujuan dia boleh berhijrah," kata Aulas.

"Terima kasih Fekir di atas segala sumbangan dan kami telah mencapai persetujuan untuk melepaskannya."

Lyon dijangka akan mengharungi kempen luar musim yang sibuk selepas Tanguy Ndombele, Ferland Mendy, Moussa Dembele dan Memphis Depay masing-masing telah menarik perhatian kelab lain.

"Kami akan cuba mendapatkan pemain baru. Kami juga bakal melepaskan beberapa pemain sambil mahu memperkuatkan pasukan.

"Kami harus pantas bersama pengarah sukan baru, Juninho, serta pengendali, Sylvinho."