AUGSBURG 2 BAYERN MUNICH 2

Deretan peluang yang dilepaskan Bayern Munich di Augsburg mengecewakan Niko Kovac, termasuk bintang sayap, Serge Gnabry, apabila juara Bundesliga itu terpaksa berpuas hati mengutip satu mata.


Skuad kendalian Kovac itu memadamkan jaringan minit pertama oleh Marco Richter yang menyaksikan Gnabry membuat lorongan untuk disudahkan Robert Lewandowski sebelum dia sendiri mencetak nama selaku penjaring.

Bayern, bagaimanapun, terlepas dua peluang berharga untuk mengukuhkan kedudukan ekoran ketangkasan penjaga gol Augsburg, Tomas Koubek, manakala Thomas Muller, yang baru-baru ini melahirkan kekecewaannya berikutan kekurangan minit permainan, juga gagal memanfaatkan peluang.

Situasi itu kembali menghantui Bayern apabila Finnbogason meledak jaringan dalam masa pemberhentian selepas mengambil kesempatan terhadap kesilapan Lucas Hernandez.

Permulaan yang lembab dan kegagalan membunuh permainan membawa kekecewaan besar buat pengendali dari Croatia itu ketika tampil dalam sidang media untuk skuad asuhannya itu menduduki tangga ketiga di belakang pendahulu, Borussia Monchengladbach, dan Borussia Dortmund.

"Kami bermula dengan sangat teruk dalam perlawanan ini, Ia tidak seharusnya berlaku seperti yang kami pernah katakan," katanya.

"Kami perlu berwaspada dan tidak terjerumus dengannya dalam lima minit awal.

"Begitupun, selepas itu kami dapat mengawal perlawanan dan mempunyai peluang yang terhidang tetapi tidak dapat menjaringkan gol. Jika anda gagal menyudahkannya, maka anda tidak boleh melepaskan gol kedua.

"Dua percubaan tepat menghasilkan dua gol buat Augsburg. Ia sesuatu yang menjengkelkan saya," tambahnya.

Gnabry turut sependapat dengan menambah: "Kami telah melupakan kekalahan 1-2 kepada Hoffenheim dalam perlawanan terakhir sebelum rehat antarabangsa. Kami turun dengan bersemangat dan menonjolkan persembahan yang hebat untuk menguasai perlawanan.

"Kami terlepas dua peluang yang hampir 100 peratus boleh menjadi gol ketiga. Jika kami dapat meledak gol itu, maka perlawanan ini sudah berakhir. Tetapi kami memusnahkannya.

"Kami menguasai sebahagian besar perlawanan selain mempunyai peluang-peluang terhidang -- kami sepatutnya menang tetapi kami agak cuai, kemudian sesuatu berlaku di bahagian pertahanan."

Kecederaan pertahanan, Niklas Sule, juga memburukkan keadaan menjelang kunjungan ke Olympiacos dalam kempen Liga Juara-Juara (UCL), Rabu ini.