Skuad negara bermula dengan langkah kiri dalam saingan bola sepak Sukan Universiti Asean (AUG) 2018 setelah tumpas 1-3 di tangan Thailand dalam aksi yang berlangsung di Stadium Wunna Theikdi, Nay Pyi Daw, Myanmar, hari ini.

Hanya lima negara mengambil bahagian dalam acara bola sepak dengan Malaysia meletakkan sasaran untuk mara ke perlawanan akhir.

Namun, ketika menentang Thailand dalam perlawanan pertama mereka di peringkat kumpulan, skuad negara tersentak setelah dikejutkan oleh gol pendahuluan lawan seawal minit kelapan menerusi Kasinaro.

Belum sempat anak buah Yazli Yahya itu mengatur strategi, Thailand terus menghukum pertahanan Malaysia, kali ini giliran Bandit Paphonpai pula meledak jaringan untuk menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-19.

Dalam babak kedua, Malaysia cuba memperkemaskan jentera serangan, namun percubaan mereka tetap gagal menemui sasaran.

Sebaliknya, Thailand kekal dengan penguasaan mereka dalam perlawanan tersebut apabila Kasinaro menambah jaringan ketiga pasukannya apabila mudah menyempurnakan hantaran silang dalam kawasan penalti.

Malaysia meraih gol sagu hati yang berpunca daripada hantaran lintang Mohd Aliff Ikhwan Mazlan yang mengelirukan penjaga gol Thailand, Kritchai Sangrung, dan kedudukan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

“Saya menjangkakan Thailand akan turun berhabis-habisan. Mungkin ia berkaitan dengan keputusan dalam aksi Piala Suzuki AFF.

“Sebaliknya, saya melihat Thailand beraksi dengan baik tetapi ia berlaku berpunca daripada pemain Malaysia sendiri yang gagal menyekat lawan,” kata Yazli.