Skuad bola sepak negara kendalian Yazli Yahya dipaksa bekerja keras sebelum mampu menewaskan Laos 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti untuk mengakhiri kempen Sukan Universiti Asean (AUG) dengan pingat gangsa, semalam.

Malaysia memilih laluan berliku untuk meraih sekurang-kurangnya gangsa dalam edisi kali ini.

Sebelum ini, skuad negara menundukkan Laos 3-0 dalam aksi peringkat kumpulan tetapi dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat, lawan terlebih dahulu mencatat jaringan pada minit ketujuh menerusi Phonepaseuth Lathxavong yang berpunca daripada sepakan percuma.

Malaysia cuba mengawal permainan dan mencipta beberapa asakan tetapi jaringan penyamaan hanya hadir pada minit ke-36 apabila Zulkarnain Rosli bijak menyudahkan hantaran K. Rueben dari sebelah kanan.

Biarpun kedua-dua pasukan sering berbalas serangan, perlawanan terpaksa diheret ke penentuan sepakan penalti setelah kedudukan terikat 1-1 dalam waktu sebenar.

Penjaga gol, Azam Jais, muncul wira apabila bertindak cemerlang menafikan tendangan lawan sebelum sepakan daripada Hairi Mustafa mengesahkan kemenangan 4-2, sekali gus membutirkan gangsa buat Malaysia.