Pengendali skuad bola sepak wanita negara, Mohd Asyraaf Fong Abdullah, tetap positif dengan sasaran pingat gangsa dalam Sukan Sea Kuala Lumpur, Ogos depan, walaupun menganggap ia satu cabaran yang sangat sukar.

"Kami bakal berdepan dengan beberapa pasukan elit di Asia seperti Thailand dan Vietnam, Thailand pernah layak ke Piala Dunia di Kanada dua tahun lalu manakala Vietnam juga pernah menjadi pasukan terkuat Asia Tenggara, sebelum ini.

"Begitu juga dua lagi pasukan, Myanmar dan Filipina, mereka memiliki rekod yang baik dan ini sekali gus memberi kami laluan yang sangat sukar," katanya ketika dihubungi, di Kota Kinabalu, semalam.

Sementara itu, Asyraaf berkata pertandingan kali ini kemungkinan besar hanya membabitkan lima pasukan kerana skuad Singapura difahamkan tidak akan turut serta.

"Kita jangkakan pertandingan akan dijalankan secara liga dalam satu kumpulan, jadi dua pasukan teratas akan bersaing merebut pingat emas manakala pasukan yang berada di kedudukan ketiga dan keempat akan bersaing merebut pingat gangsa.

"Bagaimanapun, jika Singapura menukar fikiran dan sedia beraksi dalam Sukan Sea kali ini, kami jangkakan akan ada dua kumpulan. Ia mungkin memberi kami sedikit kelebihan, apapun, kami tetap positif dengan sasaran pingat gangsa," katanya.